Tuesday, March 23, 2010

Akhirnya Ke Tali Gantung


22 Mac 2010. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Walaupun selicik mana si pembunuh membawa cerita, namun akhirnya, tetap dijatuhi hukuman gantung.


Jikalau anda ada membaca blog post saya yang bertajuk "Pengalaman Pertama" yang mengisahkan tentang pengalaman saya mendengar kes perbicaraan, maka kali ini, saya akan membuat hujah penggulungan tentang salah satu kes.


OKT, iaitu Orang Kena Tuduh, Shahrul Nizam Mohd. Shah, 38, merupakan seorang penjaga stor, cuba menutup perbuatan jenayah dengan berpura-pura dipaksa minum racun selepas teman wanitanya, Nurul Hazira Bharum, 26, yang juga penjaga stor, dikatakan melakukan perkara yang sama seminggu selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu.


Walaubagaimanapun, kisah merpati dua sejoli cuba membunuh diri bak kisah Romeo dan Juliet itu bagaimanapun terbongkar apabila hasil bedah siasat mendapati sebenarnya Nurul Hazira mati kerana lemas akibat dicekik menggunakan sehelai tudung.


Akibat perasaan cemburu apabila mengetahui bahawa mangsa akan berkahwin dengan orang lain, tertuduh sanggup membunuh kerana tidak mahu membenarkan mangsa untuk berkahwin dengan jejaka lain. Akhirnya, tindakan tertuduh membawa padah pada diri sendiri apabila tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, setelah mendapati pembelaan tertuduh hanya keterangan tokok tambah serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes tersebut.


''Tiada keterangan yang menunjukkan mangsa sebelum kejadian hendak membunuh diri dan semua saksi seperti ibu bapa, rakan sekerja dan tunang mangsa tidak menyatakan sedemikian. Kedudukan mangsa yang baring tidak konsisten dengan perbuatan minum racun sendiri," kata Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.


''Keterangan jiran tertuduh bahawa tertuduh datang ke rumahnya dan minta bantuan dengan memberitahu bahawa 'orang rumahnya' (mangsa) sudah minum racun tidak konsisten dengan dakwaan tertuduh mengenai rancangan dia dan teman wanitanya ingin membunuh diri,'' katanya.


Shahrul Nizam disabitkan atas tuduhan membunuh Nurul Hazira di rumahnya di Lot 2584-1, Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, Rawang antara pukul 9 dan 10 pagi, 7 Oktober 2008, dijatuhkan hukaman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


nota kaki: sumber utama > UTUSAN MALAYSIA ONLINE...

No comments:

Post a Comment