Tuesday, March 23, 2010

Hiduplah Dengan Kesyukuran


Hidup kadang kala amat rumit untuk difahami. Amat sukar untuk dimengerti. Dugaan dan cabaran silih berganti.


Namun itu bukan alasan untuk berputus asa. Bukan alasan untuk berundur diri. Kerana hidup tanpa dugaan, tanpa halangan, tanpa cabaran hanya akan menjadikan hidup kita biasa-biasa sahaja. Dugaan itulah yang menjadikan kita kuat. Cabaran itulah yang membuatkan kita tabah. Halangan itulah yang menbentuk jati diri kita.


Percaya atau tidak, semakin banyak halangan yang kita tempuhi, semakin kita lebih menghargai kehidupan kita. Semakin besar cabaran dan dugaan kita, semakin kuat kita untuk menempuhi hari mendatang.


Tekanan yang kita hadapi hadir dalam pelbagai bentuk, pelbagai cara. Sama ada secara mental mahupun fizikal. Tapi percayalah setiap ujian yang Allah swt turunkan kepada kita adalah bersesuaian dengan kemampuan kita sebagai umat-Nya. Allah swt tidak akan menyeksa kita untuk berdepan dengan dugaan yang tidak mampu kita tanggung.


Bersyukurlah sekurang-kurangnya, kita masih mampu untuk bertemu dengan hari ini, masih boleh beramal pada hari ini dan masih berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang kita sayangi. Kita mungkin tidak sekaya orang lain, mungkin tidak sepandai orang lain, mungkin tidak sehebat orang lain, mungkin kita bukan siapa-siapa. Tetapi yakinlah bahawa setiap makhluk yang diciptakan-Nya memiliki kehebatan, keistimewaan tersendiri.


Segala yang berlaku di dunia ini, yang berlaku pada diri kita, secara sedar atau tidak, mempunyai hikmah disebalik setiap kejadian. Maka sebagai hamba-Nya, yang beragama Islam, dalam menghadapi dugaan, ujian, halangan, cabaran haruslah di tempuhi dan dihadapi dengan penuh kesabaran, dan dengan penuh istiqamah. Dan jangan pernah sekali menyalahkan takdir kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

No comments:

Post a Comment