Sunday, March 28, 2010

Pandangan Mata Manusia


Tajam. Sinis. Serong. Merupakan antara jenis pandangan yang sering digunakan oleh manusia. Dari pandangan mata seseorang, kita mungkin dapat menilai dan menafsir apa yang difikirkan oleh mereka. Berada di dalam kenderaan awam seperti KTM, membolehkan kita melihat pelbagai ragam manusia, pelbagai aksi mereka yang bergelar manusia.


Apa yang kita rasa andai kita diperhatikan oleh seseorang yang tidak kita kenali dengan pandangan yang tajam? Diperhatikan dengan sorotan mata yang sinis? Mesti dan pasti kita akan merasa tidak selesa. Dan bayangkan kalau pada ketika kita diperhatikan itu, kita adalah mereka yang merupakan dari golongan orang kurang upaya (OKU)...apa perasaan anda?


Pastinya, kita akan terasa kita dipandang hina kerana kekurangan diri kita, kerana kecacatan kita. Maaf andai mungkin kasar ayatnya. Tetapi itulah yang dirasai oleh mereka yang kurang sempurna anggota badannya berbanding kita.


Mereka tidak meminta dilahirkan dalam keadaan sedemikian. Namun mereka juga tidak meminta untuk menerima pandangan yang seakan dikriminasi dari kita. Walaupun mereka kurang sempurna, mereka cacat anggota, tapi mereka tetap manusia biasa yang miliki hati dan perasaan.


Kita dan mereka adalah sama. Kita dan mereka adalah serupa. Kita dan mereka tetap manusia. Layanlah mereka, pandanglah mereka, terimalah mereka seadanya. Mereka hanya insan biasa yang lahir dimuka bumi Allah ini untuk mencari keredhaanNya.


nota kaki: teringat lagu "kita serupa"....

No comments:

Post a Comment