Monday, March 22, 2010

Hilangnya Sifat Kemanusiaan



Isu pembuangan bayi semakin hangat diperkatakan. Tak kira di mana, tempat pembuangan sampah, tandas awam, dalam longkang, sehingga ada yang sanggup membakar bayi di dalam tong sampah.


Terbaru seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat itu ditemui basah kuyup dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu. Apa yang membezakan kisah bayi ini dengan kisah pembuangan bayi yang lain, adalah bayi ini masih lagi bernyawa dan bernafas ketika ditemui walaupun dalam keadaan yang sangat lemah.


Betapa kuatnya semangat juang seorang anak kecil untuk teruskan hidup walaupun mereka masih tidak mengetahui betapa besarnya dugaan dunia yang bakal ditempuhi nanti.


Tetapi tujuan blog ini ditulis bukan untuk menceritakan tentang cabaran dunia, sebaliknya tentang sifat manusia yang lebih "kebinatangan" berbanding binatang sendiri. Maaf andai terkasar pemilihan bahasa, namun itulah hakikat yang harus ditelan.





Kemanakah menghilangnya sifat kemanusiaan manusia itu sendiri? Kemana lesapnya nilai kemanusiaan makhluk yang bergelar manusia itu sendiri? Apakah disebabkan kemajuan yang kita hadapi membuatkan kita semakin lupa tentang pentingnya sifat dan nilai kemanusiaan itu? Adakah bayi yang dikandung selama hampir sembilan bulan itu tidak mempunyai nilai dan harga sehingga boleh dibuang sesuka hati? Fikirkanlah...


nota kaki: moga akan wujud kesedaran di hati mereka yang bertopengkan syaitan ini..

No comments:

Post a Comment